Taip untuk carian

UNDILAH PAS UNTUK EKONOMI TANPA RIBA

Artikel Dewan Ulama

UNDILAH PAS UNTUK EKONOMI TANPA RIBA

Wartawan Salam 30/04/2018
Share

Oleh:
USTAZ MOHD ASRI MAT DAUD
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat

1. Kewajipan umat Islam ialah membebaskan ekonomi negara daripada riba. Riba merupakan dosa besar malah diisytihar perang oleh Allah dan Rasul-Nya. Imam Ibnu Kathir menyatakan bahawa tiada aku melihat ancaman yang besar selain riba kerana Allah sendiri mengisytihar perang ke atas pemakan riba.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 279:

فَإِنْ لَمْ تَفْعَلُوا فَأْذَنُوا بِحَرْبٍ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ ۖ وَإِنْ تُبْتُمْ فَلَكُمْ رُءُوسُ أَمْوَالِكُمْ لَا تَظْلِمُونَ وَلَا تُظْلَمُونَ

“Oleh itu, kalau kamu tidak juga meninggalkan perintah mengenai larangan riba itu, maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan Rasul-Nya. Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu ialah pokok asal harta kamu. Dengan yang demikian, kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.” [al-Baqarah: 279]

2. Malapetaka ekonomi yang sedang melanda adalah merupakan suatu natijah daripada kebobrokan sistem kapitalis berasaskan manipulasi kadar faedah atau lebih tepat lagi ekonomi berasaskan riba.

3. Skandal kewangan yang berlaku di Malaysia dalam 1MDB, PERWAJA, BMF dan seumpama dengannya adalah manifestasi kegagalan dasar pengurusan perniagaan dan ekonomi yang tidak berprinsipkan Islam. Ia berpunca daripada ekonomi berasaskan riba dan sistem kapitalis yang menyebabkan jiwa pemimpin yang kemaruk kemewahan dunia.

Sabda Nabi Muhammad SAW:

لَوْ كَانَ لِابْنِ آدَمَ وَادِيَانِ مِنْ مَالٍ لَابْتَغَى وَادِيًا ثَالِثًا وَلَا يَمْلَأُ جَوْفَ ابْنِ آدَمَ إِلَّا التُّرَابُ وَيَتُوبُ اللَّهُ عَلَى مَنْ تَابَ

“Kalaulah anak cucu Adam memiliki dua lembah harta kekayaan nescaya dia akan mencari lembah kekayaan yang ketiga. Dan tidak memenuhi perut (keinginan nafsu) anak cucu Adam melainkan tanah (kematian). Dan Allah memberikan ampun ke atas mereka yang bertaubat.” [Riwayat Muslim]

4. Semenjak negara merdeka, hanya PAS yang dilihat serius dan tegas memperjuangkan ekonomi negara tanpa riba secara pelaksanaan dalam pentadbiran. Faktanya, Kerajaan PAS Kelantan telah mengumumkan satu dasar untuk membersihkan harta kerajaan negeri daripada unsur riba dengan memindahkan semua wang kerajaan dari bank konvensional ke Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), iaitu satu-satunya yang mengamalkan sistem perbankan Islam ketika itu.

5. Begitu juga, semasa PAS memerintah Terengganu pada 1999 – 2004, Akaun Bebas Riba berjaya direalisasikan apabila kerajaan di bawah pimpinan PAS segera memindahkan simpanan aset tetap (fixed deposit) dari bank-bank konvensional kepada bank yang mengamalkan sistem perbankan Islam.

6. Perkara ini hanya mampu dilaksanakan apabila kuasa politik berada di dalam tangan orang-orang yang komited dengan Islam. Dan sehingga kini, terbukti bahawa parti politik yang benar-benar komited memerangi riba secara menyeluruh adalah PAS sebagaimana yang ditonjolkan menerusi model ekonomi Islam di Kelantan. Undi yang diberikan kepada PAS dalam PRU-14 nanti, pastinya memberikan saham bagi kebaikan ekonomi negara yang lebih baik tanpa riba.

Terbitan:
Jabatan Pilihan Raya Ulamak
Dewan Ulamak PAS Pusat

13 Syaaban 1439H / 29 April 2018 (Ahad)

https://berita.pas.org.my/undilah-pas-untuk-ekonomi-tanpa-riba/

Tinggalkan Komen*

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Soalan Buat PH

%d bloggers like this: