Taip untuk carian

KENYATAAN MEDIA PAS KEDAH BERHUBUNG KENYATAAN TUN “MANGSA MEMALI MATI KATAK”

Berita Negeri

KENYATAAN MEDIA PAS KEDAH BERHUBUNG KENYATAAN TUN “MANGSA MEMALI MATI KATAK”

Wartawan Salam 04/05/2018
Share

PAS Kedah melahirkan kekesalan terhadap kenyataan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkan 14 penduduk kampung yang menjadi mangsa kezaliman dalam Peristiwa Memali sebagai ‘mati katak’. Kenyataan tersebut keterlaluan, tidak bertanggungjawab serta telah menyinggung perasaan seluruh ahli keluarga mangsa Memali yang masih hidup.

Sewaktu sebahagian besar parti politik di negara ini sibuk mengetengahkan agenda yang akan dilaksanakan jika diberi mandat mentadbir negara ini; Tun mengambil langkah songsang untuk menyerang pemimpin PAS saban waktu. Apakah dendam kesumatnya terhadap PAS sejak separuh abad, tidak pernah padam?

Bagi PAS, Peristiwa Berdarah Memali tidak wajar dieksploit untuk kepentingan politik kerana ia melibatkan darah dan kehormatan mangsa terbabit, justeru PAS konsisten mahukan Suruhanjaya Siasatan Diraja menyiasat kebenaran kes tersebut.

Realiti kita di hadapan kita sekarang ialah rakyat sedang dalam perhitungan untuk menentukan masa hadapan mereka dalam negara dengan memilih kepimpinan baru bagi penggal pasca PRU14. Rakyat mahu tahu apa agenda parti-parti politik jika diberi mandat, bukan mahu mendengar putaran kisah silam yang tiada kena mengena dengan mereka.

Jika Tun merasai pilihanraya umum sebagai masa untuk melunaskan dendam dan kebencian terhadap mana-mana pihak, bukan untuk menawarkan kepimpinan untuk rakyat; maka wajarlah berundur sahaja dari politik sebelum hari mengundi kerana kemenangan Tun hanya akan menyusahkan rakyat jelata serta menjuruskan rakyat ke kancah perpecahan seperti sewaktu zaman Tun menjadi Perdana Menteri dahulu.

PAS menyeru rakyat, abaikan Tun yang asyik terbabas sebaliknya menumpukan usaha untuk menukarkan kerajaan dengan memilih PAS sebagai alternatif.

DR AHMAD FAKHRUDDIN BIN SYEIKH FAKHRURAZI
Pesuruhjaya PAS Kedah
4 Mei 2018

Tinggalkan Komen*

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Soalan Buat PH

%d bloggers like this: