Taip untuk carian

Geoeskatologi (14): Mata Air Zughar

Artikel

Geoeskatologi (14): Mata Air Zughar

Wartawan Salam 31/05/2018
Share

MATA AIR Zughar merujuk kepada nama perkampungan lama di Lembah Jordan, Palestin. Oleh kerana nama tersebut tidak lagi digunakan, sejarawan berkhilaf dalam menentukan kedudukan sebenar tempat berkenaan.

Sebahagian berpendapat ia berada di Selatan Tasik Tiberias, berhampiran Ein Sultan, beberapa kilometer dari Bandar Areha. Mengikut Mu’jam Buldan pula, Ein Zughar terletak di Selatan Laut Mati, Jordan. Terdapat juga riwayat Hadis yang menunjukkan Tasik Tabari dan Ein Zughar adalah tempat yang sama.

Menurut Hadis riwayat Muslim yang dinyatakan pada Siri 11, Dajjal yang berdialog dengan Tamim ad-Dariy bertanyakan mengenai keadaan Ein Zughar, maka Tamim menjawab bahawa ia masih membekalkan air kepada tanah sekitar. Selepas itu Dajjal terus bertanyakan soalan lain tanpa mengulas mengenainya. Tetapi menurut riwayat Ibn Hibban, Dajjal turut menyatakan bahawa air tersebut akan kering.

Sekiranya kita melihat kepada Ein Sultan hari ini, di sana terdapat kem pelarian yang pernah menempatkan 23,000 penduduk Palestin Tebing Barat dalam tempoh Perang Arab Israel 1948-1967. Kini kem tersebut cuma tinggal sekitar 1,700 orang sahaja. Namun mereka mengalami masalah kekurangan air bersih walaupun sebelum ini, kawasan tersebut begitu subur dan dikatakan menjadi penempatan pertama dalam sejarah manusia.

Sebahagian Ulama berpandangan bahawa Ein Zughar merupakan lokasi pangkalan Dajjal di akhir zaman. Mereka mengaitkannya dengan Hadis Nabi S.A.W:

لتقاتِلُنَّ المشركينَ حتى يقاتِلَ بقيتُكُم الدجال على نَهْرِ الأُرْدُنِّ أنتم شَرْقِيُّهُ وهم غَرْبِيُّهُ ولَا أَدْرِي أينَ الأردُنُّ يومئذٍ

“Kamu akan memerangi orang Musyrikin sehinggalah yang berbaki dari kalangan kamu memerangi Dajjal di Sungai Jordan. Kamu di sebelah Timur dan mereka di sebelah Barat. Dan aku tidak tahu di mana terletaknya Jordan pada waktu itu.”

[HR Bazzar & Thabrani]

Sebagaimana Hadis pada Siri Ghouta lalu, pangkalan orang beriman adalah di Ghouta, sebelum turunnya Nabi Isa A.S. Kedudukannya memang berada di sebelah Timur Sungai Jordan. Boleh jadi selepas turunnya Nabi Isa, mereka akan menuju ke pangkalan Dajjal yang dimaksudkan di sebelah Barat. Akhirnya Dajjal akan dibunuh di satu tempat bernama Bab Ludd, yang akan diceritakan mengenainya pada siri akan datang.

Wallahualam.

(Petikan dari buku Geoeskatologi Islam yang bakal diterbitkan)

(ALANG IBN SHUKRIMUN)
14 Ramadan 1439
30 Mei 2018 – HARAKAHDAILY 30/5/2018

Screenshot 20180530 190619 Facebook

Tinggalkan Komen*

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Soalan Buat PH

%d bloggers like this: